EKONOMI

Ytl Corp, Ytl Power Sertai Konstituen Fbm Klci, Dialog & Westports Digugurkan

30/11/2023 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- YTL Corp Bhd dan YTL Power International Bhd disenaraikan sebagai dua komponen untuk menggantikan Dialog Group Bhd dan Westports Holdings Bhd dalam senarai 30 konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI). 

Dalam kenyataan bersama pada Khamis, FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd menjelaskan perubahan itu dibuat susulan semakan separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, yang dilakukan mengikut peraturan asas indeks.

FBM KLCI, yang merupakan sebahagian Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, digunakan secara meluas oleh pelabur sebagai penanda aras utama bagi pasaran modal Malaysia, termasuk pasaran derivatif, melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Options (OKLI).

Indeks penanda aras itu juga dijejaki oleh beberapa produk kewangan berkaitan indeks, seperti dana dagangan bursa.

Sementara itu, Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 mencatatkan kemasukan melibatkan Bank Islam Malaysia, Dialog Group, DXN Holdings, Malayan Cement, OSK Holdings, Sunway, UMW Holdings, WCE Holdings dan Westports Holdings.

Pengguguran pula merangkumi Berjaya Food, Duopharma Biotech, Hengyuan Refining Company, Hextar Technologies Solutions, Hong Leong Capital, PMB Technology, SAM Engineering & Equipment Malaysia, SKP Resources dan YTL Corp.

Bagi Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Shariah pula, penyertaan membabitkan Greatech Technology manakala Inari Amertron dikeluarkan.

Semua perubahan konstituen berkuat kuasa pada 18 Dis, 2023 dan semakan seterusnya akan dilakukan pada Jun 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan