SEPANG, 1 Dis (Bernama) -- Proses pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) dan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai bagi pelancong ke Malaysia kekal dan tidak akan dikompromi biarpun penambahbaikan kemudahan imigresen di bawah pelan liberalisasi visa dilaksanakan bermula hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata ia sekali gus menafikan dakwaan beberapa pihak kononnya pelaksanaan pelan itu menjadikan prosedur kemasukan pelancong asing lebih ‘longgar’ dan mudah.
“Di bawah pelan ini, proses kemasukan ke Malaysia dan SOP sedia ada akan dilaksana, tiada perubahan.
“Ramai di pihak luar kata apabila buat liberalisasi ini, semua proses lain mudah, tidak. Di imigresen kita tetap sama,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Jabatan Imigresen (JIM) di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Prosedur tersebut antaranya menghendaki pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel atau tempat tinggal sepanjang berada di negara ini.
Ruslin berkata JIM juga mewujudkan pasukan khas untuk memantau pergerakan keluar masuk pelancong dengan kekuatan 25 anggota penguat kuasa.
“Pasukan khas tersebut akan mengemukakan laporan setiap dua minggu untuk memastikan pelancong berada di Malaysia berdasarkan tempoh sah laku visa mereka, sama ada 30 hari atau 60 hari,” katanya.
Pada 27 Nov lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan pelan liberalisasi visa akan diperkukuh dengan langkah kawalan dan penguatkuasaan bersepadu oleh agensi penguat kuasa, termasuk memantau pergerakan keluar pelancong China dan India.
Ia selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim 26 Nov lepas, berhubung pengecualian visa 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada 2024.
Inisiatif di bawah pelan liberalisasi visa itu antara lain meliputi pemberian kemudahan visa kemasukan berbilang hingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin memasuki Malaysia dan pemberian pas lawatan sosial jangka panjang hingga 12 bulan diberikan kepada pelajar antarabangsa yang tamat pengajian di Malaysia bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan.
Pengenalan pelan liberalisasi visa itu juga bertujuan menjana hasil pendapatan negara sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri utama pelaburan dan pelancongan di Asia.
Sementara itu, JIM mencatatkan 26 juta kemasukan warga asing ke Malaysia dari 1 Jan hingga 15 Nov lepas termasuk pelancong Singapura seramai 12.6 juta diikuti Indonesia 3.1 juta pelancong dan Thailand pula seramai 2.07 juta orang.
Pelawat asing yang dikenakan NTL bagi tempoh sama adalah seramai 47,060 orang dengan angka tertinggi daripada Indonesia (15,984 orang) dan Bangladesh seramai 6,906 orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial