PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membayangkan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam bulan ini.
Ketika diajukan soalan berkaitan rombakan Kabinet selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4C, Presint 18, di sini, Anwar telah memanggil seorang kanak-kanak Akmal Afif Yaseer Arafat, 12, dan memintanya untuk mengulangi soalan berkenaan sebagai mewakili pemberita.
“Datuk Seri, bila rombakan Kabinet,” tanya kanak-kanak tersebut.
“Akmal cadang bila, sebelum atau selepas 2024,” tanya Anwar kepada kanak-kanak berkenaan dan Akmal Hafiz menjawab: “Sebelum 2024”.
“Dia jawab sebelum 2024. Saya setuju,” kata Anwar.
Terdahulu, Anwar bersama kira-kira 2,000 jemaah termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan yang diimamkan oleh Imam I Surau Putra Al-Amin Fasa 4C Amirul Aqif Ismail.
Anwar bersama jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Memaknakan Kekayaan Dengan Berzakat’ yang kandungannya antara lain mengajak umat Islam untuk menunaikan zakat dan mengikis sifat bakhil demi meraih keredhaan Allah SWT.
Usai solat Jumaat, Perdana Menteri turut meluangkan masa menjamu selera di pekarangan surau dan beramah mesra dengan jemaah termasuk kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial