JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Digilis Tren Lrt Selepas Terjatuh Ke Atas Landasan

02/12/2023 01:33 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki berumur 27 tahun maut akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh ke atas landasan di stesen LRT Dato’ Keramat malam ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Fabell Md Yasin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.05 malam, dan terpaksa mendapatkan bantuan juruteknik LRT untuk menggerakkan tren kebahagian belakang bagi mengeluarkan mayat lelaki itu.

“Lelaki itu digilis di bahagian kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan malam ini berkata susulan kejadian itu jadual perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya terjejas, menyebabkan waktu menunggu yang lebih lama.

Menurutnya perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas sokongan, telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian. Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kejadian itu, dan atas kelewatan tren malam ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan