AM

Tnb Persiap Empangan Skim Hidroelektrik Hadapi Impak Monsun

03/12/2023 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mempersiapkan semua empangan skim hidroelektrik di Cameron Highlands, Sungai Perak dan Tasik Kenyir bagi menghadapi impak Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Muhamad Nazri Pazil berkata ia termasuk berkaitan kemampuan empangan menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.

“Pemeriksaan berkala secara bulanan dan audit integriti setiap enam bulan adalah antara langkah yang diambil melebihi garis panduan ‘Malaysia Dam Safety Management Guidelines’ (MyDAMS) demi keselamatan empangan untuk memastikan keutuhan struktur.

“Selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, sekali gus dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minimum melalui pelepasan terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum permulaan musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.

“Langkah-langkah ini bagi memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi juga membantu usaha penebatan banjir.

“Penyelenggaraan empangan secara berhemat dan menyeluruh mendukung prinsip utama melindungi nyawa, harta benda dan persekitaran,” katanya.

Muhamad Nazri berkata TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan kepada pemegang taruh dan penduduk setempat, di samping latih amal simulasi kecemasan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.

TNB Genco adalah anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset-aset penjanaan elektrik milik TNB, termasuk skim empangan hidroelektrik.

Ia bertanggungjawab mengenal pasti sebarang potensi risiko dengan melaksanakan pengawasan, pemantauan prestasi, dan pemeriksaan khas empangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan