SUKAN

Empat Emas Di Paralimpik Paris 2024 Realistik - Megat

03/12/2023 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kekal menaruh harapan untuk melihat kontinjen negara menuai empat pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata empat emas bukan lah sasaran rasmi tetapi merupakan matlamat yang ditetapkan untuk bekerja keras bagi mencapai harapan itu.

Tanpa memaklumkan sukan yang menjadi sandaran, Megat berkata empat emas adalah jumlah yang realistik berdasarkan persembahan barisan atlet sepanjang tahun ini antaranya pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022, Oktober lepas dan di Kejohanan Dunia.

“Empat emas adalah objektif yang kami tengok realistik untuk kami capai, kami nak kumpulkan 10 pingat emas daripada Sukan Paralimpik (selepas pencapaian tiga emas masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020).

“Empat emas bukan sasaran rasmi tetapi itulah sasaran yang kami buat hasil penelitian dari awal tahun ini sehingga sekarang dan ia sangat penting untuk kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Wang Tajaan Pemenang Pingat Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Megat tidak melihat jumlah empat emas sebagai satu tekanan kepada kontinjen negara tatkala negara lain berani meletakkan sasaran emas jauh lebih tinggi.

Terdahulu, pada majlis diadakan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini yang bersempena Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa 2023 itu, barisan pemenang pingat pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou menerima insentif berupa wang tunai.

Insentif yang diberikan itu menyaksikan pemenang pingat emas menerima RM2,000, pingat perak (RM1,000) dan gangsa RM500.

Kontinjen Malaysia membawa pulang keseluruhan 39 pingat sekali gus mengatasi sasaran 35 pingat, dengan pecahan tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan