SUKAN

Pibdr 2023 Rekod Penyertaan 60 Pasukan Dari 14 Negara

03/12/2023 07:24 PM

BALIK PULAU, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 60 pasukan dari 14 negara menyertai Regata Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang (PIDBR) 2023 bermula semalam hingga hari ini di Empangan Teluk Bahang, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata jumlah penyertaan itu merekodkan tertinggi sejak acara itu dianjurkan manakala 42 pasukan dari tujuh negara menyertai acara itu pada tahun lepas.

"PIDBR 2023 ini bukan sekadar acara sukan tetapi juga umpama satu festival pertukaran budaya. Peserta dari pelbagai negara telah mempamerkan perlumbaan bot naga melalui persaingan sengit dan interaksi mesra antara pasukan yang bertanding.

"Sepanjang dua hari pertandingan, semua pihak telah menunjukkan semangat yang tidak berbelah bahagi serta komitmen setiap pasukan yang berusaha untuk mencapai kemenangan,'' katanya dalam ucapan majlis penutup PIDBR 2023 di empangan berkenaan di sini hari ini.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Wong berkata pihaknya berharap penganjuran pada tahun hadapan akan merekodkan lebih ramai penyertaan dari dalam dan luar negara dalam usaha meningkatkan semangat kesukanan serta pertukaran budaya.

Sementara itu, pasukan Thailand muncul juara perlumbaan untuk kali ketiga sejak 2010.

Pasukan Thailand Dragon mencatatkan masa 1 jam 32 minit 47 saat untuk acara 400 meter kategori Terbuka Premier Antarabangsa menewaskan pasukan Phillipine Canoe, Kayak Dragonboat Federation (1:35.44) dan Pacific West Dragon Boat Club (1:36.91). 

Jurulatih pasukan Thailand Dragon C.Vinya yang membimbing 14 ahli pasukan itu berkata mereka gembira kerana akhirnya mendapat ganjaran selepas berbulan-bulan menjalani latihan untuk pertandingan tu.

"Kami pertama kali memenangi perlumbaan di Pulau Pinang pada 2010 dan sekali lagi pada 2019. Kami meletakkan harapan yang tinggi untuk pulang dengan kemenangan dan kami berjaya. Pasukan amat berbangga dengan kemenangan tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan