EKONOMI

Aeon Big Terima Lebih 30,000 Penyertaan Untuk Pertandingan 'shop More, Win More'

04/12/2023 02:52 PM

SHAH ALAM, 3 Dis (Bernama) -- AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) menerima lebih 30,000 penyertaan untuk peraduan 'Shop More, Win More’ atau ‘Belanja Lebih Menang Lebih’ dari 19 Okt hingga 26 Nov lepas sempena ulang tahun ke-11 pasar raya itu.

Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata daripada jumlah tersebut, 11 peserta berjaya mara ke peringkat akhir di AEON BiG Bukit Rimau di sini untuk memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan pihaknya.

Antara hadiah utama yang ditawarkan kepada pemenang ialah kereta Proton Saga Premium dan Proton X50 Flagship.

"Peraduan ini bukan sahaja terbuka kepada pelanggan-pelanggan setia kami, tetapi juga (terbuka) kepada rakan-rakan niaga dan pembekal AEON BiG," katanya kepada pemberita selepas acara Grand Finale Peraduan 'Belanja Lebih Menang Lebih’ di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dalam pada itu, Sheikh Farouk berkata AEON BiG semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat antaranya apabila melaksanakan Jualan Rahmah hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata rentetan itu, pihaknya mengadakan program Orange Day yang berbentuk jelajah ke negeri-negeri setiap bulan dengan menawarkan potongan harga menarik kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar memuji inisiatif AEON BiG yang memaparkan konsep MADANI dari segi hubungan baik dengan pelanggan menerusi program-program jualan murah.

"Saya ingin sarankan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai jaringan besar supaya mengambil iktibar dengan menghayati prinsip MADANI dan melaksanakan program-program mendekati masyarakat," katanya.

Sementara itu, seorang daripada pemenang, Ngeow Bih Lei, 35, tidak menyangka memenangi hadiah Proton X50 Flagship menerusi peraduan itu selepas berbelanja lebih RM1,500 di AEON BiG Falim, Ipoh, Perak pada Oktober lepas dengan membeli sebuah televisyen dan pengering rambut.

"Rasa macam mimpi (dapat menang hadiah utama), hari ini hari bertuah saya," katanya yang berkhidmat sebagai penolong pegawai perakaunan di sebuah syarikat swasta.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan