SUKAN

Juara Bertahan Argentina 'mandi Peluh' Sebelum Atasi Australia 1-0

06/12/2023 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Juara bertahan Argentina terpaksa berhempas pulas untuk meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Australia  pada perlawanan pembukaan Kumpuan A pada saingan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki  (JWC) 2023  di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pasukan nombor satu dunia itu terpaksa menunggu sehingga dua minit terakhir permainan sebelum pemain tengah, Ignacio Nardolillo menghadiahkan gol kemenangan menerusi gol padang pada minit ke-58.

Usaha tersebut juga menjadikannya 'Pemain Terbaik' setelah pasukan Los Leoncitos (Singa Kecil) gagal memanfaatkan dua peluang pukulan sudut penalti sebelum itu.

"Kami melakukan segala-galanya untuk mencari gol, saya rasa kami bekerja dengan sangat baik dan menunggu saat untuk menjaringkan gol dan mujurnya saya berada di tempat yang tepat untuk menjaringkannya," kata Nardolillo, yang telah menjaringkan dua gol pada edisi lepas di Bhubaneswar, India.

Sementara itu, ketua jurulatih, Juan Gilardi berkata tidak kira gol itu dijaringkan awal atau akhir perlawanan, ia adalah sama asalkan dapat mengutip tiga mata penuh dan menyifatkan pertembungan dengan Australia sentiasa menjadi cabaran untuk pasukannya.

Persiapan Argentina, naib juara Kejohanan Junior Pan Amerika 2023, sedikit terjejas apabila peralatan pasukan termasuk kayu hoki dan kasut pemain hilang ketika tiba di sini dari Buenos Aires, beberapa hari yang lalu.

“Kami gembira untuk mendapatkan semula peralatan kami selepas empat hari sejak hilang (kerana kecuaian syarikat penerbangan). Kami tidak fokus mengenai kayu hoki tetapi hanya memikirkan perlawanan kami dan hari ini kami beraksi dengan baik.

“Sebelum ini, apabila kami membeli kasut dan kayu hoki di sebuah kedai di sini, kami berasa lebih baik kerana kami boleh berlatih dan bermain perlawanan serta bersedia untuk Piala Dunia," katanya.

Argentina muncul juara di Bhubaneswar selepas menewaskan Jerman 4-2 pada aksi final untuk merekodkan kejuaraan kedua mereka selepas kali pertama pada 2005 di Rotterdam, Belanda.

Argentina seterusnya akan berdepan Malaysia pada aksi kedua kumpulan, malam esok.

Gilardi menjangkakan menentang pasukan tuan rumah sentiasa sukar dan akan melihat pertemuan Malaysia dengan Chile malam ini sebelum melakarkan strategi dan kekal fokus.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan