JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Syarikat Cetak Akhbar Harakah Dapat Penghakiman Terus Tuntut Pas Bayar Hutang

06/12/2023 01:03 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas syarikat pencetakan akhbar Harakah untuk memasukkan penghakiman terus terhadap PAS bagi mendapatkan baki hutang sebanyak RM656,233.69.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun turut memerintahkan parti politik itu membayar kos RM3,000 kepada N.A.J Press Resources (M) Sdn Bhd selaku plaintif pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd Faizi Che Abu yang mewakili PAS, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Galeri Media Serbanika Sdn Bhd selaku defendan.

Peguam Surya Putra Taulan, mewakili syarikat pencetakan N.A.J Press Resources  ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Pada 2 Okt lepas, syarikat itu memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap ketiga-tiga defendan. 

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui penghujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan plaintif telah bersetuju untuk menerima pelantikan plaintif sebagai pencetak akhbar Harakah milik defendan-defendan selain mendakwa defendan gagal membayar baki bayaran RM656,233.69 bagi kerja-kerja mencetak akhbar berkenaan.

Namun, plaintif berkata defendan-defendan ada membuat sebahagian pembayaran berjumlah RM23,518.34 pada 31 Okt 2017 dan baki bayaran RM656,233.69 masih belum dibayar sehingga kini.

Dalam saman difailkan pada 11 Julai lepas, plaintif menuntut defendan-defendan supaya membayar RM656,233.69 kepada syarikat itu.

Syarikat itu turut mendakwa defendan-defendan mengakui berhutang dan berjanji untuk membayar hutang tersebut.

Menurut plaintif, surat peringatan telah dihantar kepada PAS dan Harakah bertarikh 5 Ogos 2019 bagi menuntut baki bayaran hutang itu, namun sehingga kini hutang itu masih gagal dijelaskan.

-- BERNAMA


 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan