JENAYAH & MAHKAMAH

Doktor Klinik Swasta Mengaku Tidak Bersalah Keluar Sijil Vaksinasi Covid-19 Palsu

06/12/2023 02:50 PM

MARANG, 6 Dis (Bernama) -- Seorang doktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 10 pertuduhan mengeluarkan sijil suntikan vaksinasi palsu di kliniknya di sini, dua tahun lepas.

Dr Muhamad Reze Rashid, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

Mengikut pertuduhan, Dr Muhamad Reze didakwa atas lima pertuduhan  dengan sengaja membuat catatan palsu tentang status penerimaan vaksinasi terhadap pelanggannya di kliniknya di sini antara 7 hingga 23 Dis 2021.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pemilik klinik swasta itu juga didakwa atas lima pertuduhan membuat dokumen palsu iaitu Kad Peringatan Vaksinasi dengan mengisi butiran di ruangan dos 1, Kad Peringatan Vaksinasi pelanggannya pada tempoh sama. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili peguam Najib Zakaria dan Azahir Nashir.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan