EKONOMI

Straits Oil Tools Kini Pengedar Eksklusif Keluli Firma Indonesia Bakri Pipeline Di Malaysia

07/12/2023 03:11 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 7 Dis (Bernama) -- Firma Indonesia PT Bakri Pipeline Industries (BPI) telah melantik Straits Oil Tools Sdn Bhd (SOT) sebagai pengedar eksklusif produk keluli karbon keluarannya di Malaysia.

Pengarah Eksekutif SOT Nik Mohd Redza N Aziz berkata perjanjian dengan BPI adalah bagi tempoh tiga tahun. 

“Di bawah perjanjian itu, kami akan menerajui usaha jualan dan pemasaran produk-produk berkenaan," kata Nik Mohd Redza kepada BERNAMA.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SOT Azwan Omar berkata kerjasama strategik berkenaan meletakkan syarikat sebagai pembekal yang boleh dipercayai, sekali gus membuka peluang besar dalam landskap industri yang dinamik.

"Usaha pertukaran pengetahuan dan kepakaran mengenai produk keluli karbon berkenaan hanya menjanjikan manfaat bersama untuk kedua-dua negara selain mewujudkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi bagi tempoh pasca COVID-19," katanya.

Perjanjian yang dimeterai pada 20 November lepas, dilakukan oleh Nik Mohd Redza yang mewakili SOT dan Ketua Pegawai Eksekutif BPI R. Atok Hendrayanto.

BPI yang ditubuhkan pada 1959, adalah anak syarikat konglomerat PT Bakrie & Brothers yang terbabit dalam bidang pembuatan paip keluli dengan produk berkualiti tinggi untuk pelbagai kegunaan dalam industri minyak dan gas, pembinaan serta infrastruktur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan