AM

Kerajaan Perpaduan Selesaikan Banyak Perkara Dalam Ma63, Lebih Pantas - Anwar

07/12/2023 03:13 PM

TENOM (Sabah), 7 Dis (Bernama) -- Biarpun baru setahun mentadibir negara, Kerajaan Perpaduan telah berjaya menyelesaikan lebih pantas dan banyak perkara yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding sebelum ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata pelbagai langkah diambil bagi merealisasikan perkara itu, antaranya beliau mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat melibatkan MA63 bagi menyegerakan perlaksanaan perkara-perkara yang berkaitan.

Katanya untuk Sabah sendiri banyak perkara dalam MA63 telah berjaya diselesaikan, antaranya pengembalian semula kuasa pengurusan bekalan elektrik kepada kerajaan Sabah dan kuasa meluluskan projek kecil diserah kepada negeri ini.

“..dalam tempoh setahun ini kita selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya...saya jelaskan kerana ada tokoh politik di Sabah gunakan cerita ini untuk tarik minat orang Sabah, guna sentimen. Kalau ada fakta saya tiada masalah tetapi kalau putar belit saya terpaksa jawab,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini. Empangan itu dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 billion, dan ia mempunyai kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan