EKONOMI

Kerajaan Komited Tingkatkan Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Ev - Tengku Zafrul

08/12/2023 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Kerajaan komited untuk meningkatkan lagi tahap penerimaan rakyat Malaysia untuk beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik yang bersifat menyeluruh termasuk motosikal elektrik, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ini berikutan manfaat mobiliti kenderaan elektrik (EV) tidak hanya terhad kepada kereta, malah motosikal elektrik sebagai medium penting pengangkutan rakyat.

“Ini selaras dengan hasrat dan sasaran kerajaan untuk mencapai karbon sifar menjelang 2050 serta sasaran jualan EV sebanyak 20 peratus pada 2030 melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) bersempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah untuk mengambil peluang berdaftar dan memohon untuk subsidi tunai sebanyak RM2,400 yang disediakan oleh kerajaan. 

Katanya pelancaran MARiiCas adalah tepat pada masanya dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) percaya inisiatif ini berupaya merancakkan penerimaan rakyat untuk beralih daripada penggunaan enjin pembakaran dalam (ICE) kepada EV.

"Dari perspektif yang lain, ini diharap dapat membantu pencapaian sasaran 20 peratus jualan tahunan kenderaan sebagai kenderaan elektrifikasi (xEV) pada 2030 seperti mana yang telah ditetapkan di bawah NETR,” katanya. 

MITI dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dalam kenyataan bersama berkata inisiatif ini yang menawarkan bantuan dalam bentuk insentif rebat bertujuan membantu memberi keyakinan dan peluang kepada rakyat untuk memanfaatkan teknologi motosikal elektrik sebagai medium pengangkutan harian.

Kedua-dua pihak berkata platform permohonan MARiiCas oleh MARii  telah diaktifkan bagi membolehkan pemohon menyemak kelayakan serta memohon bagi insentif ini serta mengakses maklumat berkaitan model motosikal elektrik yang ditawarkan serta menyemak kelulusan permohonan.

Platform ini boleh diakses menerusi laman sesawang insentif.marii.my bermula hari ini, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan