KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Perancis komited bekerjasama dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama antaranya untuk mengekalkan kesejahteraan Laut China Selatan sebagai perairan yang aman dan stabil.
Kementerian Pertahanan dan Kementerian Angkatan Tentera Perancis dalam satu kenyataan bersama berkata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Angkatan Tentera Perancis Sebastian Lecornu menegaskan kepentingan menjadikan Laut China Selatan sebagai sebuah laluan perdagangan selamat melalui konsultasi berterusan selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS 1982).
Menurut kenyataan itu, Perancis juga dialu-alukan untuk menjadi pemerhati dalam struktur lingkungan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus.
Lecornu mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia hari ini semenjak memegang jawatan itu pada Mei 2022.
Dalam pada itu, mereka juga menggariskan kepentingan kestabilan di Timur Tengah dan mengesahkan komitmen terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan yang disertai kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak turut menekankan komitmen untuk meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang sains pertahanan, teknologi dan industri selain bersetuju melancarkan rundingan “Status of Forces Agreement”.
“Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk meneruskan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Strategik Pertahanan Malaysia - Perancis (DJHSC) pada 2024. DJHSC adalah platform penting untuk berkongsi isu pertahanan dan keselamatan yang berkaitan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan bersama itu.
Pada lawatan itu, kedua-dua menteri juga telah menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Syarikat Thales Group bagi Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (GM400) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia.
Radar itu akan ditempatkan di Bintulu, Sarawak bagi memantau kedaulatan ruang udara Malaysia di pesisiran perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Menurut kenyataan itu, lawatan Lecornu memberi peluang terbaik kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala.
“Kerjasama pertahanan Malaysia yang sekian lama terjalin dengan Perancis telah memainkan peranan penting dalam membina keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan Malaysia. Atas dasar ini, kedua-duanya bersetuju untuk mempertingkatkan perkongsian mereka,” kata kedua-dua pihak.
Kenyataan bersama itu turut menyatakan pendekatan perkongsian pertahanan itu adalah asas untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan seperti yang ditetapkan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan selaras dengan Strategi Pertahanan Perancis di Indo-Pasifik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial