EKONOMI

Nvidia Lihat Malaysia Miliki Sumber, Kemampuan Jadi Hab Ai, Setuju Bangunkan Ekosistem Ai - Anwar

08/12/2023 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- NVIDIA Corporation, sebuah syarikat teknologi multinasional, melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk menyediakan keperluan dan syarat sebagai sebuah hab kecerdasan buatan (AI).

NVIDIA telah menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NVIDIA telah menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri. 

“Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami menyinggung potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI. Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Petang tadi, Anwar telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power Datuk Yeoh Seok Hong.

Anwar berkata keputusan NVIDIA untuk melabur di Malaysia adalah satu isyarat yang jelas bahawa pelabur asing, terutamanya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini. 

Beliau berkata NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion.

YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan