SUKAN

Penyokong Jdt ‘serbu’ Kedai Mamak Saksikan Piala Malaysia

08/12/2023 10:01 PM

JOHOR BAHRU, 8 Dis (Bernama) -- Penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat membanjiri beberapa kedai mamak di sekitar bandar raya ini bagi menyaksikan final Piala Malaysia antara pasukan itu menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur,  malam ini.

Menerusi tinjauan Bernama, Restoran E&Y Sahul di Adda Height, di sini, yang merupakan antara kedai mamak yang tidak asing dalam kalangan penyokong bola sepak sebagai lokasi pilihan, dilihat menyediakan dua skrin layar besar.

Kebanyakan penyokong datang bersama seisi keluarga dengan lengkap memakai jersi Harimau Selatan bagi menyaksikan skuad bimbingan Esteban Solari itu.

Rata-rata penyokong JDT yang di temui berkata mereka tiba sejak jam jam 7.30 malam bagi menyatakan sokongan kepada pasukan JDT.

Pengusaha restoran berkenaan, Sahul Hameed E Yaccob, berkata beliau menganggarkan seramai 1,000 pengunjung bersama penyokong JDT menyaksikan perlawanan akhir itu.

Bagi penyokong JDT, Mohd Ishak Abu Bakar, 42, beliau lebih memilih untuk menonton melalui skrin layar besar di kedai mamak berbanding di rumah kerana kemeriahan serta semangat kesukanan kuat yang dikongsi bersama.

Katanya, Piala Malaysia dijangka kekal menjadi milik JDT dengan ramalan pasukan itu menewaskan Terengganu FC 3-2 meskipun keadaan padang dikatakan tidak memuaskan

“Semoga JDT terus mengekalkan  aksi terbaik dan dapat membawa pulang Piala Malaysia ke Johor,” katanya.

Senada dengan Mohd Ishak, Kamal Azmi Yusof, 45, berkata keadaan padang tidak akan menjejaskan perlawanan JDT.

“Bagi saya pemain JDT mampu beraksi dengan cemerlang dan sekurang-kurangnya menewaskan Terengganu FC 3-1,” katanya.

Abdul Rashid Hamzah, 44 pula yakin JDT mampu menewaskan Terengganu FC dengan mudah berdasarkan pencapaian cemerlang juara Liga Super 10 kali itu.

“JDT bukan pasukan yang mudah ditewaskan dan ia terbukti berdasarkan prestasi dan kejayaan mereka selama ini. 

“Bagaimanapun bahang final ini berlainan, saya rasa JDT tetap akan berhadapan dengan cabaran menentang Terengganu FC,” katanya.

JDT merupakan juara tiga kali Piala Malaysia dan Terengganu FC pula mengejar kejuaraan kedua selepas menjulang piala itu pada 2001.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan