SUKAN

Solari Hadiahkan Kejuaraan Piala Malaysia Buat Tmj 

09/12/2023 01:47 AM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menghadiahkan kemenangan menjulang Piala Malaysia kepada pemilik kelab,Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya bersyukur kerana baginda memberi saya peluang untuk mengendalikan pasukan yang hebat ini. Ia bukan hanya pasukan tetapi usaha baginda untuk melihat mutu bola sepak menjadi lebih baik setiap tahun. Pemain juga memahami dan mempunyai mentaliti juara,” katanya.

Kejayaan menewaskan Terengganu FC 3-1 itu menyaksikan skuad Harimau Selatan meneruskan keunggulan meraih kejayaan treble buat musim kedua berturut-turut selepas dinobat juara Piala FA Julai lalu dan merangkul kejuaraan Liga Super September lepas.

JDT turut muncul juara Piala Sumbangsih dengan mengatasi Terengganu 2-0 pada aksi pembukaan musim ini, Februari lepas.

Ia sekali gus merupakan kejayaan sulung buat Solari memenangi tiga kejuaraan domestik utama sejak dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Selatan menggantikan Hector Bidoglio, Disember tahun lepas.

“Kami sangat gembira mendapat empat gelaran musim ini dengan yang ini (Piala Malaysia). Ia adalah perlawanan sukar menentang Terengganu dengan prestasi mereka meningkat dan tampil dengan pendekatan berbeza dalam perlawanan akhir ini.

“Keberanian untuk pemain beraksi di padang dalam keadaan teruk tetapi ia bukan alasan. Keadaan seperti ini tidak membantu tetapi kami cuba membuka peluang untuk menghasilkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dalam 90 minit perlawanan walaupun akhirnya terpaksa akur dengan keputusan itu.

“Saya tidak boleh berpuas hati apabila pasukan saya kalah tetapi secara jujur saya perlu bangga apabila hampir 70 minit mengikat kedudukan 1-1...tahniah untuk semua pemain saya dan juga pasukan JDT. 

“Sebagai jurulatih baharu, kami menukar ramai pemain musim ini dan membawa beberapa pemain baharu dan masih mencari keserasian pemain tetapi saya perlu berpuas hati kerana prestasi semakin meningkat secara perlahan,” kata pengendali berusia 57 tahun itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan