AM

Harimau Ditangkap Dengan Tembakan Pelali

20/12/2023 11:51 AM

IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di sekitar kawasan Kampung Orang Asli Tonggang sehingga Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini sejak minggu lepas, berjaya ditangkap awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata harimau berusia dalam lingkungan empat tahun dan berat sekitar 90 kilogram (kg) itu ditangkap selepas ditembak peluru pelali.

“Perhilitan cuba menghalau harimau berkenaan namun gagal. Sehubungan itu, keputusan diambil untuk menembak pelali, dan harimau tersebut berjaya ditangkap sekitar 4.30 pagi, kira-kira 500 meter dari jarak perangkap dipasang.

“Kita percaya harimau ini adalah haiwan sama dalam video yang tular beberapa hari lepas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff berkata harimau berkenaan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Pada 14 Dis lepas, tular video yang dirakam sekumpulan Orang Asli memaparkan kelibat harimau belang berkeliaran di kawasan Kem PGA Ulu Kinta menghala ke laluan perkampungan Orang Asli Tonggang.

Sehari selepas itu, dilaporkan kelibat haiwan itu dilihat beberapa penduduk Rancangan Perumahan Awam 2 (RPA 2) berhampiran Kem PGA, berlegar-legar di kawasan penempatan mereka.

Selain itu, Yusoff berkata Perhilitan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang diberikan penduduk sekitar dalam memastikan kejayaan operasi berkenaan.

“Walaupun saya akui mereka cemas, namun kesemuanya memberikan kerjasama baik terutama dalam mengikut arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak  Perhilitan,” katanya.

Sementara itu, penduduk RPA2 Rozaime Che Embi, 37, melahirkan rasa syukur kerana tangkapan yang dilakukan dapat menghilangkan ketakutan masyarakat setempat.

“Ini kali pertama dalam hidup harimau masuk ke kampung kami. Ia kenangan yang tak akan dilupakan sampai bila-bila. Terima kasih juga kepada Perhilitan kerana komited untuk memastikan operasi tangakapan itu berjaya,” katanya sambil berharap Perhilitan akan terus memantau kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan