PRAGUE/LONDON, 22 Dis (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala 24 lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah universiti di Prague, ibu negara Republik Czech pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ketua Polis Prague Martin Vondrasek berkata lelaki bersenjata itu adalah seorang pelajar berusia 24 tahun dari Fakulti Kesenian di Universiti Charles.
Vondrasek berkata penyerang itu tinggal di sebuah kampung kira-kira 21 kilometer dari Prague dan bapanya ditemui maut pada awal Khamis.
Ketua polis yang memetik siasatan awal berkata suspek mendapat inspirasi daripada insiden serupa yang berlaku di luar negara dan beliau tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pertubuhan pengganas.
Vondrasek berkata mayat lelaki bersenjata itu kemudian ditemui di Fakulti Kesenian universiti.
Beliau berkata suspek dipercayai membunuh diri selepas berbalas tembakan dengan polis.
Menurut polis tiada petunjuk suspek mempunyai rakan sejenayah.
Beliau berkata seorang warga asing adalah antara mangsa kejadian tembakan itu.
Sementara itu Presiden Republik Czech memutuskan untuk memendekkan lawatan beliau ke Perancis susulan kejadian berkenaan, menurut Radio Prague International.
Perdana Menteri Petr Fiala turut membatalkan lawatan kerjanya di Olomouc dan berpatah balik ke Prague.

Kerajaan Republik Czech dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar pada Khamis malam. Pihak berkuasa menggesa penduduk supaya menjauhi tempat kejadian dan kekal di rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial