AM

Perak Setuju Sedia Lokasi Kepada Geely Untuk Bina Universiti

23/12/2023 12:15 PM

IPOH, 23 Dis (Bernama) -- Perak bersetuju untuk menyediakan lokasi bagi pembinaan sebuah universiti bertaraf antarabangsa di Proton City, Tanjung Malim sepertimana dicadangkan oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu telah dibincangkan dua minggu lepas semasa kunjungan pihak pengurusan kanan syarikat berkenaan ke negeri ini.

“Dalam perbincangan berkenaan mereka meminta kita (Kerajaan Perak) menyediakan lokasi pembangunan universiti itu dan pada masa yang sama kita sudah mencadangkan beberapa lokasi yang dirasakan sesuai.

“Bagaimanapun, tiada tempoh masa tertentu yang telah diletakkan untuk pembinaan universiti ini serta perincian lain yang membabitkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pertama, Penggal Pertama Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak ke-4 di sini hari ini.

Saarani berkata pembinaan universiti itu dilihat begitu signifikan terutama dalam memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan belia.

“Dalam erti kata lain, pembukaan universiti ini biasanya akan memberi atau menjadikan sesuatu tempat itu sebagai pusat pertumbuhan baharu. Jadi anda boleh bayangkan apa yang akan terjadi di situ,” katanya.

Sebelum ini, Geely syarikat gergasi automotif dunia dan juga rakan kongsi strategik konglomerat Malaysia, DRB-HICOM akan membawa pelaburan bernilai RM32 bilion bagi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Projek mega berimpak tinggi dengan menekankan kepada sistem dan teknologi baharu dalam industri automotif global itu dijangka akan menjadi hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Dalam pada itu, Saarani berkata Dewan Belia Negeri Perak merupakan wahana penting dalam mengangkat suara serta martabat belia di negeri ini dalam mewacanakan pelbagai isu dan perkara yang melatari pelbagai golongan.

“Sebagai Menteri Besar, saya amat berbangga kerana dewan ini bukan sahaja menjadi medan ujian buat generasi muda menonjolkan bakat kepimpinan malah bersama-sama membahaskan isu yang boleh diambil perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan