JENAYAH & MAHKAMAH

OPERASI MINI DHAKA : TIADA KOMPROMI TERHADAP PEGAWAI, ANGGOTA POLIS TERLIBAT JENAYAH

26/12/2023 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Tiada kompromi terhadap tiga anggota polis yang ditahan kerana disyaki mencuri sejumlah wang semasa operasi bersepadu di Jalan Silang, baru-baru ini, sekiranya didapati bersalah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata sepertimana ditegaskan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini, isu sedemikian tidak timbul, malah pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang dituduh, sekiranya mereka didapati bersalah.

“Kami akan menjalankan siasatan. Siasatan kes itu adalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (curi dalam bangunan) dan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan dilengkapkan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tiga anggota polis itu dipercayai daripada Pasukan Gerakan Am Briged Tengah ditahan dan direman pada 23 Dis lalu selepas disyaki mencuri wang berjumlah RM85,000 daripada sebuah premis perniagaan semasa menjalankan operasi bersepadu “mini Dhaka” itu, Khamis lepas.

Ayob Khan berkata pada 2022 beberapa pegawai kanan polis berpangkat Supt, DSP, ASP dan Insp juga pernah ditahan dalam operasi melibatkan dadah.

Tegasnya, salah laku pegawai atau anggota polis tidak sama sekali melemahkan mahupun mengundurkan operasi berkaitan penempatan warga asing untuk dijalankan seperti biasa.

"Insya-Allah, kami akan teruskan lagi dan tidak ada alasan untuk kami hentikan operasi melibatkan warga asing," katanya.

Ayob Khan berkata ketiga-tiga anggota PGA yang ditahan kini disambung reman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Bernama berkata tempoh reman ketiga-tiga anggota berkenaan yang sepatutnya tamat hari ini, disambung sehingga Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan