BUKIT MERTAJAM, 4 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan tidak pernah mengeluarkan lesen kepada pendatang tanpa izin untuk menjalankan sebarang perniagaan seperti membuka gerai atau kedai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan sentiasa konsisten untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan dan tindakan undang-undang sentiasa diambil terhadap warga asing yang melanggar peraturan.
"Tindakan undang-undang sentiasa dan sedang dilakukan bersama PBT (pihak berkuasa tempatan) dan tahun lepas kami telah melaksanakan sebanyak 1,539 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing dan sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen atau premis (oleh warga asing)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Pasar Awam Bukit Mertajam di sini hari ini.
Nga berkata demikian ketika mengulas berhubung lambakan gerai warga asing sehingga menjejaskan peniaga tempatan di banyak lokasi di seluruh negara yang turut menimbulkan kegusaran penduduk tempatan.
Beliau berkata KPKT juga bersedia dan akan memberi kerjasama bagi program turun padang bersama kementerian lain, sebagai usaha mengekang penularan perniagaan secara haram oleh warga asing.
"Apabila kita syaki ada pendatang tanpa izin salah guna premis ataupun salah guna lesen yang dikeluarkan oleh PBT, maka lesen tersebut akan dibatalkan serta-merta malah tindakan tegas turut dikenakan," katanya.
Sementara itu, Nga berkata KPKT telah memperkenalkan pertandingan reka bentuk secara terbuka bagi pembinaan semula semua projek pasar awam yang berskala besar di seluruh negara.
Beliau berkata ia bagi memastikan pasar awam mempunyai ciri-ciri tersendiri yang istimewa, menarik dan juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Sukacita saya mengumumkan KPKT akan menyediakan RM110 juta dana khas untuk menaik taraf pasar awam di seluruh negara dan mulai hari ini mana-mana pembinaan semula pasar awam baru yang berskala besar seperti kompleks Pasar Bukit Mertajam akan menggunakan konsep pertandingan reka bentuk secara terbuka.
"Bayangkan 10 tahun akan datang Malaysia akan mempunyai pasar awam yang mempunyai ciri-ciri tersendiri yang istimewa, menarik dan juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan malah hasil cetusan ilham dan idea itu juga penuh inovatif serta kreatif," katanya.
Pasar Awam Bukit Mertajam telah dibina pada sekitar 1970an di atas tapak seluas 57,440 kaki persegi dan pada 4 Feb 2014 telah berlaku kebakaran di tingkat satu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial