AM

FAHMI ZIARAH PETUGAS BERNAMA TV TERLIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA

08/01/2024 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menziarahi Eksekutif Juruteknik Penyiaran Bernama TV, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Saifuddin Mohd Nazari yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kemalangan jalan raya.

Beliau meluangkan masa hampir 30 minit berbual dengan ahli keluarga Mohd Saifuddin iaitu isteri Azrin Bujal, 35, dan bapa Mohd Nazari Ibrahim, 60, sebelum menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, bagi meringankan beban mereka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bernama yang membantu menyediakan sedikit sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA yang dikelolanya. Saya harap isteri dan bapa Mohd Saifuddin dapat bertabah, dan Insya-Allah kita akan terus usaha untuk bantu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas melawat Mohd Saifuddin di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak.

Selain sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA, Bernama turut menyerahkan sumbangan daripada Tabung Kebajikan Bernama.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, merupakan inisiatif kementerian yang bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Mohd Saifuddin dimasukkan ke hospital pada hari Jumaat lepas setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Petaling Jaya selepas pulang daripada tempat kerja.

“Ini adalah saat yang sangat merisaukan (kerana) berdasarkan taklimat ringkas yang diberikan oleh doktor tadi, beliau (Mohd Saifuddin) masih dalam keadaan ditidurkan, tetapi dalam masa terdekat doktor akan cuba bantu untuk menyedarkan semula, namun akan mengambil sedikit masa,” kata Fahmi.

Sementara itu Azrin ketika ditemui berharap agar pihak berkuasa dapat memberi keadilan yang sewajarnya bagi pihak suaminya yang dipercayai dilanggar pemandu mabuk selepas pulang daripada tempat kerja selepas selesai syif pukul 1 pagi pada 5 Jan lepas.

“..pukul 2.20 pagi hospital telefon, maklumkan dia (Mohd Saifuddin) kemalangan dan minta kami segera ke hospital kerana keadaannya kritikal. Kejadian berlaku di kawasan Hospital Columbia Petaling Jaya, dalam 10 minit nak sampai rumah.

“Saya harap dia boleh recover, cepat atau lambat itu kita pun tidak tahu. Saya harap dipermudahkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan