JITRA, 10 Jan (Bernama) -- Wanita sarat hamil sembilan bulan dan suaminya ditahan bersama 10,277 gram (g) ganja di dalam kenderaan dinaiki, ketika disyaki cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata pasangan berumur 34 dan 35 tahun berasal dari Perlis itu ditahan kira-kira pukul 11.50 malam oleh sepasukan anggota yang sedang membuat rondaan dan kawalan di kawasan berkenaan.
“Kita menjalankan pemeriksaan pada trak pikap (Toyota Hilux) dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan sebelum menemukan 10 balutan plastik lutsinar yang di dalamnya berisi dadah disyaki ganja disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang seberat 10,277 g.
“Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari seberang (Thailand) untuk pasaran sebelah utara termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan jika terlepas ia boleh digunakan sebanyak 3,200 penagih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rodzi berkata berdasarkan siasatan, suspek didapati sering keluar masuk ke Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam untuk menjalankan kegiatan terbabit dan melakukannya pada waktu malam.
“Siasatan juga menjurus kepada penglibatan mereka sama ada mempunyai rangkaian sindiket atau tidak … berapa lama mereka melakukannya, masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif ganja dan pasangan itu direman hingga 14 Jan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suaminya berumur 34 tahun juga memiliki lapan rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ibu hamil itu memiliki tiga rekod atas kesalahan sama,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berjaya menahan seorang pemandu lori berumur 29 tahun serta merampas 10,105 g ganja di Jalan Sujana Lunas, Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata dadah bernilai RM31,325 ditemukan di dalam kereta dinaiki suspek selepas pemeriksaan kira-kira pukul 5.20 petang pada Ahad lepas.
Beliau berkata polis menjumpai 10 ketulan mampat dibalut plastik yang di dalamnya mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja.
“Suspek yang memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau direman hingga 14 Jan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan mengedar dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial