AM

Apm Melaka Sedia Gerak Anggota Bantu Negeri Terjejas Banjir

11/01/2024 06:21 PM

MELAKA, 11 Jan (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka sentiasa bersedia menghantar Pasukan Respons Bencana Sokongan (Paras) negeri itu bagi memberi bantuan sokongan kepada negeri berdekatan yang terjejas bencana banjir.

Pengarahnya, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata setakat ini sepasukan 12 anggota dan seorang pegawai telah digerakkan ke Johor bagi membantu mangsa banjir di Kota Tinggi.

"Kita juga menghantar aset logistik seperti lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Kamarulsyah berkata terdapat tiga pasukan Paras di negeri itu yang sedia digerakkan merentas negeri dan daerah pada bila-bila masa diperlukan sama ada secara bergilir atau serentak mengikut keperluan.

Dalam pada itu, katanya APM Melaka merekodkan sejumlah 11,990 laporan bencana dan kecemasan yang diterima menerusi Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut laporan tertinggi membabitkan 6,963 kes menangkap ular, manakala laporan kedua tertinggi melibatkan 1,670 kes berkaitan memusnahkan sarang tebuan dan lebah.

"APM mempunyai anggota terlatih bagi mengendalikan kes-kes seumpama itu selain turut berkhidmat dan  terlibat dengan pasukan menyelamat mangsa banjir, kes kemalangan serta apa sahaja berkaitan panggilan kecemasan 999 yang dilaporkan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menyasarkan seramai 440 orang awam di Melaka menyertai agensi itu sebagai anggota sukarelawannya pada tahun ini.

"Pada tahun lepas kita berjaya merekrut 786 orang awam dan melepasi sasaran awal 400 sukarelawan.

"Setakat ini, terdapat seramai 400 anggota APM termasuk sukarelawan yang aktif dan mengikuti latihan serta mempunyai jadual bertugas di tiga pejabat daerah dan dua unit APM iaitu di Selandar serta Masjid Tanah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan