AM

Kerja Baik Pulih Bukit Larut Cecah Belanja Rm20 Juta Setakat Ini - Exco

12/01/2024 02:28 PM

TAIPING, 12 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan susulan tanah runtuh di Pusat Peranginan Bukit Larut di sini yang dilaksanakan sejak 2020 telah melibatkan perbelanjaan kira-kira RM20 juta setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata bukit peranginan itu masih ditutup untuk laluan kenderaan dan sewaan banglo kepada pengunjung.

Beliau berkata bagaimanapun mereka yang memasuki kawasan itu atas tujuan melakukan aktiviti pendakian perlu bertanggungjawab terhadap risiko diri sendiri.

"Masalah yang berlaku di Bukit Larut ialah setiap kali kerja-kerja pembaikan siap di satu kawasan, ada pula kawasan lain membabitkan lerengnya akan runtuh dan sebagainya... jadi kita (Kerajaan Perak) perlu menjaga keselamatan orang awam.

"Kita tidak mengesyorkan kenderaan naik ke atas kerana dengan penggunaan jalan yang minimum itu pun berlaku runtuhan cerun. Sekiranya kita naik turun dengan kerap menggunakan jip dan pelbagai kenderaan,  maka lebih banyak runtuhan dijangka boleh berlaku dan berisiko menyebabkan kehilangan nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pakej Rail Tourism di Laman Budaya dan turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Mat Taha di sini hari ini.

Bukit Larut ditutup kepada orang awam selepas mengalami beberapa siri kejadian cerun atau tanah runtuh sejak November 2019.

Terdahulu, Loh dalam ucapannya berkata pemilihan Taiping sebagai lokasi bagi pelancaran pakej Rail Tourism adalah berdasarkan faktor stesen kereta api yang pertama di Malaysia terletak di Taiping.

Beliau berkata sebagai pengenalan, pakej Rail Tourism itu merupakan produk terbaharu yang dibangunkan oleh Tourism Perak dengan kerjasama pihak KTMB yang akan berperanan sebagai mod alternatif bagi menarik pelancong meneroka Perak dengan menaiki kereta api. 

"Inisiatif ini amat berpotensi dan sesuai dilaksanakan berdasarkan faktor bahawa sebahagian besar jajaran perkhidmatan tren elektrik (ETS) KTMB terletak dan merentas hampir semua daerah di Perak," katanya.

Loh berkata secara keseluruhan sebanyak 36 pakej Rail Tourism telah dibangunkan oleh enam agensi pelancongan terpilih iaitu Asia City Trip, Unforgettable Tour Sdn Bhd, Rayhan Haramain Tour Sdn Bhd, Ipoh Overland Tours and Travel, Karya Merdeka Travel & Tour Sdn Bhd dan Golden Century Tour & Travel Sdn Bhd.

"Kerajaan Perak yakin dan percaya bahawa negeri ini akan menjadi destinasi pilihan utama pelancong yang menawarkan ekopelancongan, kebudayaan, warisan, dan gastronomi yang mempunyai keunikan tersendiri berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zain berkata pihaknya menawarkan diskaun tambang ETS sebanyak 15 peratus kepada orang ramai yang membeli Pakej Perak Rail Tourism.

Beliau berkata pemilihan kesemua syarikat terbabit dibuat berdasarkan rekod prestasi serta kepakaran dalam bidang pelancongan.

“Kita harap syarikat yang terpilih ini dapat merancang pakej pelancongan dalam mempromosi'kan perkhidmatan rel ini dengan menawarkan pelbagai jenis aktiviti pelancongan seperti ekopelancongan kembara serta budaya dan jejak warisan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan