AM

Bekas Pegawai It Jadi Usahawan Crepe, Mada Bantu Kembang Perniagaan

17/01/2024 05:17 PM

PENDANG, 17 Jan (Bernama) -- Meninggalkan karier idaman sama sekali tidak merugikan Suriza Samsudin kerana ia "membuka laluan" bagi dirinya untuk bergelar usahawan, sekali gus berjaya meningkatkan taraf hidupnya.

Menceritakan pengalamannya, Suriza, 48, berkata dia berhenti kerja sebagai pegawai teknologi maklumat di sebuah institusi pengajian tinggi awam selepas mengikut suaminya berpindah ke Kedah sejak 17 tahun lepas.

"Disebabkan saya dah biasa ada pendapatan sendiri, saya pun cari jalan macam mana nak cari duit dan pada awalnya dalam 2010, saya bermula dengan membuat dan menjual kek cawan yang resepinya diberikan sepupu saya.

"Untuk meningkatkan kemahiran saya sertai pelbagai kursus antaranya di Kolej Komuniti," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Temuchut di sini.

Dia kemudian mendaftar sebagai usahawan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 2016 dan mula menerima bantuan geran seperti oven serta peralatan kerja, selain sering dibimbing dan dipantau agar dapat terus memajukan perusahaannya.

Menurut Suriza dia kemudian mendapat peluang untuk mengikuti latihan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan bertuah apabila terpilih mendapat bimbingan daripada pakar perniagaan crepe.

"Tempahan kek tidak menentu, pendapatan pun tak seberapa. Tapi crepe permintaannya tidak bermusim, hari-hari orang nak beli...dari situ tercetus idea untuk mengusahakan crepe dan lebih bertuah saya dapat bimbingan daripada pakar perniagaan crepe, dia dah ada pasaran yang besar.

"Saya mula jadi usahawan crepe secara kecil-kecilan, kerja sendiri, belum mampu upah pembantu dan perniagaan crepe mula menunjukkan hasil memuaskan pada sekitar 2021," katanya.

Suriza berkata dia juga sering mendapat peluang mengikuti program-program MADA yang banyak membantu mempromosikan perusahaannya selain menyertai reruai di pasar raya besar atau karnival usahawan.

"MADA sentiasa membimbing saya dan saya juga mendapat geran pemadanan Change Upgrade Product (CUP) khusus bagi usahawan bimbingan MADA pada 2022.

"Bantuan CUP membolehkan saya mengembangkan perusahaan crepe. Saya menambah baik ruangan bengkel, mendapatkan peralatan baharu seperti peti sejuk, petak sejuk beku, rak, meja kerja dan semua ini melancarkan lagi kerja-kerja menghasilkan lebih banyak crepe.

"Kini saya mempunyai empat pekerja tetap dan setiap bulan kami mampu mengeluarkan sehingga mencecah 4,000 pek crepe pelbagai perisa terutamanya durian crepe yang menjadi kegemaran ramai," katanya.

Suriza berkata crepe keluarannya bukan sahaja dipasarkan di negeri ini, malah sehingga ke Pulau Pinang dan mendapat tempahan menggalakkan daripada pelbagai premis perniagaan termasuk stesen minyak.

"Paling banyak tempahan ialah durian crepe. Ramai yang kata rasa crepe saya berbeza dengan yang lain dan lebih sedap. Saya bersyukur dan sentiasa menambah baik kualiti produk keluaran saya," katanya.

CUP merupakan program inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan menggunakan peruntukan Program Pembangunan Usahawan Pertanian dan Industri Makanan yang disalurkan bagi pelaksanaan jabatan serta agensi di bawah KPKM termasuk MADA.

Program tersebut dipertimbangkan kepada usahawan industri makanan dan asas tani dalam Kategori Mikro yang memperoleh nilai jualan kasar tahunan di bawah RM300,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan