JENAYAH & MAHKAMAH

Ceroboh Masuk Kaunter Stesen Mrt, Penganggur Dipenjara Dua Bulan

19/01/2024 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara dua bulan ke atas seorang penganggur kerana menceroboh masuk ke kaunter khidmat pelanggan di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Massa Muzium Negara untuk mencuri wang, Selasa lepas. 

Majistret Aina Azahra Arifin membuat keputusan itu selepas B. Durairajan, 35, mengaku melakukan perbuatan itu pada 12.20 tengah malam 16 Jan lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 16 Jan lepas. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala Durairajan, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan tinggal bersama keluarga.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian tertuduh telah menceroboh masuk ke kawasan itu dan cuba memecahkan mesin daftar tunai di kaunter berkenaan.

Bagaimanapun, dia berjaya ditangkap oleh anggota keselamatan sebelum sempat membuka mesin itu dan tiada kerugian dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan