AM

Kpkm, Mycc Bekerjasama Siasat Isu Kartel Beras - Mohamad

22/01/2024 04:27 PM

PEKAN, 22 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Kawalselia Padi dan Beras akan berkerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan sindiket kartel dalam industri beras negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata siasatan berkenaan dijangka mengambil masa kerana MyCC perlu memahami secara keseluruhan struktur industri terlebih dahulu. 

Selain itu, beliau berkata aspek rantaian makanan di sektor padi melibatkan beberapa peringkat, justeru, siasatan perlu dilakukan secara terperinci dan menyeluruh. 

"Dakwaan apa pun disiasat dari masa ke masa, tuduhan satu perkara, siasatan satu perkara lain dan selepas siasatan siap baru kita bincang daripada sudut tindakannya...siasatan sentiasa berjalan," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air Permatang Durian, Skim Merchong di sini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Sebelum ini, Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mendakwa wujud ‘permainan’ tertentu dalam Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) selain mendakwa isu kartel berkemungkinan benar-benar berlaku.

Presiden Barim Ismail Awang dilapor berkata ahli persatuan itu tidak mendapat bekalan beras tempatan daripada BERNAS kerana dikatakan tiada stok, sebaliknya sebahagian besar pasar raya mendapat bekalan.

Mengulas mengenai program hari ini, Mohamad berkata SMART SBB Ala Sekinchan akan diperluaskan di beberapa negeri secara berperingkat antaranya Sabah dan Sarawak selain yang terbaru akan dilancarkan di Pasir Puteh, Kelantan. 

Sementara itu, beliau ketika berucap memaklumkan secara keseluruhan Skim Merchong mempunyai keluasan kawasan 4,134 hektar dengan bilangan sebanyak 1,716 pesawah.

"Terdapat 10 Kumpulan Pengguna Air (KPA) di bawah Skim Merchong dan projek ini akan memberi fokus utama kepada KPA Permatang Durian, bagi fasa pertama pelaksanaan projek ini melibatkan 84 peserta dengan kawasan usaha seluas 168 hektar," katanya.

Menurut Mohamad,  jangkaan hasil purata padi adalah sebanyak enam tan metrik per hektar dengan pengeluaran padi bagi keseluruhan kawasan projek adalah sebanyak 27,813.876 tan metrik padi serta pengeluaran beras sebanyak 16,688.325 tan metrik beras semusim. 

"Pada masa sama, sekiranya intensiti penanaman ditingkatkan sehingga dua kali setahun, jangkaan hasil pengeluaran beras mencecah sehingga 33,376.65 tan metrik beras yang mampu menampung keperluan beras bagi anggaran keseluruhan rakyat Pahang," katanya. 

Selain itu, beliau berkata sejumlah RM1.85 bilion telah diperuntukkan bagi meringankan beban sara hidup pesawah dan memastikan kelangsungan pengeluaran padi dan beras negara pada tahun lepas. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan