AM

Agong Berkenan Tonton Dokumentari Khas Menjunjung Kasih Tuanku Terbitan Bernama Tv

26/01/2024 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan tayangan perdana dokumentari khas berjudul “Menjunjung Kasih Tuanku” terbitan Bernama TV di Istana Negara malam ini.

Al-Sultan Abdullah berkenan menonton dokumentari mengisahkan pemerintahan Seri Paduka selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16  bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  selepas Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa selamat  di Surau Utama Istana Negara, di sini. 

Dokumentari khas berdurasi 30 minit itu  ditayangkan pada layar skrin di ruang santapan istana dengan ditonton kira-kira 300 tetamu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menter Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah sempat memberi reaksi positif  mengenai dokumentari khas berkenaan.

"Okey,  Alhamdulillah… terima kasih," titah Seri Paduka ringkas sambil menunjukkan isyarat ibu jari tanda bagus.

Seri Paduka akan menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini. 

Dokumentari khas itu antara lain mengisahkan tentang ⁠penerimaan rakyat jelata sepanjang pemerintahan  Yang di-Pertuan Agong  termasuk ketika Seri Paduka mencemar duli berada di lapangan bersama rakyat, mahupun ketika berangkat menjelajah mengelilingi Malaysia serta majlis undangan rasmi bersama pemimpin negara.

Selain itu, sisi Al-Sultan Abdullah yang pelbagai termasuk ketika bersantai di samping kerabat diraja atau ketika berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja termasuk ketika berangkat merasmikan pembukaan sidang Parlimen turut dipaparkan dalam dokumentari khas berkenaan.

Tayangan dokumentari itu mula disiarkan hari ini sehingga 30 Jan menerusi beberapa siaran ulangan iaitu pada pukul 10 pagi dan 3.30 petang esok ;  8.30 malam 27 Jan ; 12.30 tengah hari 28 Jan; 10 pagi 29 Jan serta  6 pagi dan 11.30 pagi, 30 Jan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan