EKONOMI

Guoann Dot Com Meterai Moa Dengan Um, Pihak Institusi China Tubuh Pusat R&d Keneutralan Karbon

03/02/2024 08:47 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Platform perniagaan dalam talian di Malaysia, Guoann Dot Com Bhd memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Universiti Malaya (UM) serta beberapa pihak institusi dari China untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama bagi keneutralan karbon.

Institusi tersebut ialah Architectural Design Research Institute of Tsinghua University Co Ltd, China Smart Energy Industry Alliance (CSEIA) dan China Power International Development Ltd (China Power).

Dalam satu kenyataan, ia berkata perjanjian itu bertujuan meningkatkan pertukaran aspek teknikal dan pengetahuan berkaitan tenaga bersih antara Malaysia dan China dan menyuntik elemen kecerdasan hijau untuk projek Inisiatif Belt and Road.

Guoann Dot Com juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua rakan industri China -- iaitu CSEIA dan China Power untuk mengeratkan hubungan dua hala Malaysia dan China serta mewujudkan persekitaran yang lebih positif untuk kerjasama pembangunan mampan.

“Perjanjian ini menandakan kerjasama bersejarah antara Malaysia dan China dalam bidang tenaga bersih dan keneutralan karbon, serta meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan pembangunan bersama Inisiatif Belt and Road,” katanya.

Menerusi MOA itu ia juga akan memperkukuh pertukaran teknologi dan pengetahuan dalam pembangunan tenaga bersih antara kedua-dua negara, bertujuan untuk meningkatkan aplikasi Malaysia bagi tenaga bersih dan boleh baharu (RE), menunjukkan komitmen negara untuk mencapai keneutralan karbon.

“Ini meletakkan asas bagi fasa pembangunan Malaysia pada masa depan yang merancang untuk membina stesen jana kuasa melebihi 2-3 gigawatt (GW) tenaga bersih dan pintar, memacu negara ke arah masa depan rendah karbon dan mampan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Guoann Dot Com Teo Kok Ann berkata banyak pihak dari negeri berbeza di Malaysia kini menunjukkan minat terhadap projek itu dan syarikat itu merancang untuk memuktamadkan lokasi itu dalam beberapa bulan akan datang.

Sementara itu Naib Pengerusi CSEIA Shi Chun berkata projek stesen jana kuasa RE dan pembinaan taman karbon sifar dijangka menarik pelaburan hampir RM14 bilion (20 bilion Renminbi China).

Mengenai piawaian neutral karbon di Malaysia, Pengarah Eksekutif Pusat Lanjutan Dedikasi Tenaga Kuasa UM, Profesor Dr Nasrudin Abd Rahim berkata kebolehlaksanaan akan bergantung kepada proses R&D dan penyelidikan yang dilakukan, tetapi UM berhasrat untuk menjadikan kampusnya sebagai kampus pintar yang akan menumpukan pada penyelidikan dan penyelesaian masalah karbon.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Teo, Shi Chun, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM Prof Dr Kaharudin Dimyati, Timbalan Dekan Tsinghua University School of Architecture Design and Research, Professor Borong Lin, dan Timbalan Pengurus Besar China Power Lu Xiang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan