AM

MAIPK PERUNTUK RM32 JUTA PROGRAM PEMERKASAAN PENDIDIKAN SEPANJANG 2023

02/02/2024 05:14 PM

IPOH, 2 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah membelanjakan sebanyak RM32 juta bagi program pemerkasaan pendidikan dan kemahiran di bawah asnaf fakir, miskin dan fisabilillah, sepanjang tahun lepas.

MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan peruntukan itu membabitkan skim bantuan persekolahan, skim biasiswa, bantuan am pelajaran, dermasiswa dalam dan luar negara, serta skim latihan kemahiran asnaf.

“Sebanyak RM5.19 juta daripada jumlah tersebut dimanfaatkan kepada hampir 30,000 pelajar di bawah skim bantuan persekolahan.

“Bantuan tersebut banyak membantu ibu bapa menampung kos persediaan persekolahan anak-anak,” menurut MAIPk dalam satu kenyataan.

Sementara itu, sejumlah RM53,000 dana zakat telah diagihkan kepada 153 orang pelajar Orang Asli beragama Islam Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah, Kampung Kenang di Sungai Siput, dalam satu majlis hari ini.

Turut diagihkan pada majlis tersebut pakaian persekolahan untuk pelajar Orang Asli, supaya mereka dapat mengikuti sesi persekolahan dan mendapat pendidikan yang sempurna. 

Hadir ke majlis tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan JAIPk, Mohd Zulkhairi Mohd Nor.

SMAR Nurul Hidayah merupakan satu-satunya sekolah menengah agama berasrama khusus untuk pelajar Orang Asli yang ditanggung sepenuhnya oleh MAIPk, menggunakan dana zakat.

Dalam pada itu, MAIPk menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang telah menyumbang kepada pembangunan serta operasi sekolah tersebut pada setiap tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan