HAMILTON (Kanada), 15 Mei (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan tambahan dana kemanusiaan sebanyak US$1.8 bilion bagi menyokong usaha bantuan diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia, lapor Anadolu Ajansi.
Utusan AS ke PBB Mike Waltz berkata dana itu akan menyokong operasi kemanusiaan, selain memacu pembaharuan yang memberi tumpuan kepada kebertanggungjawaban, kecekapan dan impak jangka panjang.
“Dana ini akan menyelamatkan lebih banyak nyawa di seluruh dunia, di samping meneruskan pembaharuan yang kami laksanakan bagi memastikan kecekapan, kebertanggungjawaban dan kesan yang berkekalan,” katanya pada sidang media.
Ketua bantuan kemanusiaan PBB Tom Fletcher menyambut baik pengumuman itu dan berkata sumbangan berkenaan menjadikan AS sebagai penderma nasional terbesar kepada usaha bantuan PBB.
“Peruntukan ini akan membolehkan kami mempercepat dan memperluas kemajuan yang telah dicapai,” katanya.
Beliau juga menegaskan peruntukan itu akan membolehkan PBB mempercepat dan memperluas kemajuan yang telah dicapai, selain menegaskan keperluan mendapatkan baki pembiayaan bagi sepanjang tahun ini.
Fletcher turut menyifatkan keadaan semasa sebagai amat mencabar bagi petugas kemanusiaan yang kini berdepan kekangan sumber, beban tugas berlebihan dan ancaman yang semakin meningkat.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menerusi jurucakapnya turut mengalu-alukan pengumuman itu, sambil berkata dana berkenaan akan membolehkan petugas kemanusiaan menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa kepada jutaan penduduk yang terjejas akibat krisis paling mendesak.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial