AM

Malaysia, China Lancar Logo Sempena Hubungan Diplomatik 50 Tahun

02/02/2024 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Malaysia dan China malam ini melancarkan logo khas sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan secara bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Kedutaan China di sini.

Logo yang mempamerkan angka '50' untuk melambangkan 50 tahun hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu diilhamkan daripada lukisan batik Malaysia.

Berlatarbelakangkan warna latar belakang merah dan biru dengan garis kuning dan putih, logo itu menggabungkan grafik yang menggambarkan Tembok Besar China, Panda Gergasi, Menara Berkembar Petronas Malaysia dan bunga kebangsaan - Bunga Raya.

Menurut Fadillah, logo ulang tahun ke-50 yang melambangkan hubungan erat dan kukuh antara kedua-dua negara adalah usaha bersama Wisma Putra, Kedutaan China dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia berharap untuk lebih banyak penglibatan yang membina dengan China termasuk dalam mempromosikan dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat.

Beliau berkata sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, hubungan antara Kuala Lumpur dan Beijing terus berkembang, mencerminkan persahabatan yang berkekalan dan saling hormat-menghormati yang telah berkembang sejak beberapa tahun lalu.

"Dengan keyakinan yang kukuh, kami memulakan bab seterusnya ini dengan yakin dan masa depan membawa lebih banyak kemungkinan yang lebih besar untuk kerjasama sinergi dan kemakmuran," kata Fadillah.

Beliau berkata beberapa siri program dan aktiviti telah diatur oleh kedua-dua pihak seperti pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem kenang-kenangan, forum perniagaan serta persembahan kebudayaan antara lain.

Sementara itu, Ouyang berkata jumlah perdagangan dua hala antara China dan Malaysia telah mencecah 1.3 trilion yuan pada tahun 2023, dengan China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-15 berturut-turut.

Beliau berkata dalam mengekalkan nilai-nilai perpaduan dan kerjasama Asia, China bersedia dan sedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara ASEAN lain dalam membina Asia menjadi tempat yang aman, selamat dan terjamin, makmur, indah dan mesra untuk semua.

“China secara tegas akan terus mempertahankan multilateralisme, menjaga kepentingan bersama negara serantau dan memberi sumbangan yang lebih besar kepada penambahbaikan sistem tadbir urus global,” katanya.

Sekurang-kurangnya 1,000 tetamu terdiri daripada tokoh kenamaan Malaysia, wakil misi diplomatik asing, pegawai kerajaan, warga China dan pemimpin-pemimpin masyarakat telah menghadiri sambutan meriah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan