AM

Penggabungan Mavcom, Caam Akan Dibawa Ke Parlimen Tahun Ini - Loke

07/02/2024 10:15 PM

SEPANG, 7 Feb (Bernama) -- Penggabungan antara Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai satu agensi tunggal kawal selia penerbangan, masih dalam perbincangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu dijangka dibawa ke Parlimen tahun ini, sama ada pada sesi kedua atau ketiga.

Loke berkata demikian selepas pelepasan penumpang Batik Air dari Kuala Lumpur ke Sibu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Sesi kedua persidangan Parlimen dijangka bermula 24 Jun hingga 18 Julai manakala sesi ketiga dijangka pada 7 Okt hingga 5 Dis.

Penggabungan antara Mavcom dan CAAM diumumkan oleh Loke pada 2019.

Pada masa ini, Malaysia merupakan satu daripada beberapa negara yang mempunyai dua pengawal selia penerbangan iaitu MAVCOM dan CAAM.

MAVCOM menyelia bahagian kewangan, komersial dan ekonomi syarikat penerbangan, manakala CAAM melihat aspek teknikal.

Sementara itu Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy yang turut bersama pada majlis itu berkata syarikat penerbangan itu memulakan semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sibu dua kali sehari bermula 6 Feb, bagi memenuhi keperluan pasaran dan juga selaras dengan inisiatif kerajaan meningkatkan kekerapan penerbangan antara Semenanjung dan Malaysia timur.

Beliau berkata disebabkan permintaan tinggi sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Batik Air akan menawarkan penerbangan tambahan antara 6 hingga 9 Feb pada jam 5 petang dan dari Sibu pada 7.55 petang.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan