AM

Penerima Manfaat Str Beli Keperluan Harian Sempena Promosi Perayaan

10/02/2024 10:49 AM

IPOH, 10 Feb (Bernama) -- Pelbagai promosi oleh pasar raya utama sempena sambutan Tahun Baharu Cina dimanfaatkan pengguna untuk membeli barangan keperluan harian terutama mereka yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di sini mendapati ramai dalam kalangan penerima telah menggunakan bantuan itu yang mula dikreditkan dalam akaun mereka bermula minggu lepas. 

Mereka yang ditemui rata-rata memuji langkah kerajaan menaikkan peruntukan STR yang membantu meringankan beban kos sara hidup.

Pesara tentera dari Chemor, Abd Kadir Soib, 62, berkata beliau bersyukur tersenarai sebagai penerima bantuan STR. 

"Rakyat pada ketika ini memerlukan wang tunai untuk berbelanja barangan keperluan mereka sebab itu saya lihat STR adalah insentif paling efektif dalam memperkasakan rakyat.

"Walaupun saya sudah bersara, anak-anak sudah besar, namun ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan perbelanjaan keluarga saya dan isteri, apatah lagi kos kehidupan pun naik ketika ini, jadi memang membantu," katanya yang membeli barangan basah untuk keluarganya dengan bantuan tersebut.

Bagi kerani syarikat swasta, Noor Shafika Ahmad Husni, 36, langkah kerajaan menaikkan jumlah bantuan daripada RM300 kepada RM500 tahun ini amat wajar. 

"Kalau nak ikut cukup, memang tak cukup sebab bagilah sampai RM1,000 pun untuk fasa pertama ini takkan mencukupi, namun apa yang saya boleh katakan kerajaan sangat membantu ringankan beban kami.

"Macam saya ada dua anak masih bersekolah, jadi peluang cuti sempena Tahun Baharu Cina ini saya ambil untuk beli kelengkapan persekolahan mereka, bantuan STR ini dapatlah diperuntukkan untuk anak-anak," katanya. 

Seorang lagi penerima, Khalid Aziz, 76, dari Changkat Larang, Lahat berkata STR ternyata memberi impak yang tinggi dalam merancakkan ekonomi menerusi aktiviti perbelanjaan.

"Kalau tanya warga emas macam saya memang saya bersyukurlah menjadi antara penerima. Saya berdua dengan isteri, jadi kebiasaan akan gunakan untuk perbelanjaan makanan selain turut dikongsikan bersama cucu-cucu. 

"Terima kasihlah kepada kerajaan kerana menyalurkan bantuan kepada rakyat dan saya harap bantuan ini akan berterusan," katanya.

Menurutnya STR kali ini merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah yang pernah diberikan kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup.

Bayaran STR Fasa 1 dinaikkan sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum RM300 tahun lepas yang membabitkan peruntukan lebih RM2.1 bilion dan diberikan secara berfasa kepada individu berkelayakan bermula 29 Jan lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan