AM

Mainj Peruntuk Rm15 Juta Baiki, Bina Baharu Rumah Asnaf

13/02/2024 03:18 PM

BATU PAHAT, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM15 juta untuk membaik pulih dan membina baharu rumah asnaf tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata sebanyak RM7 juta akan digunakan untuk kerja membaiki kerosakan rumah akibat bencana seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya.

"Sejumlah RM8 juta lagi adalah untuk membina rumah baharu bagi golongan asnaf yang tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MAINJ.

“Melalui peruntukan itu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dapat membantu membaiki rumah asnaf yang rosak akibat bencana hingga RM18,000 bagi setiap rumah," katanya kepada pemberita selepas Program Kecoh Sekawan Desa di Kompleks Penghulu Mukim 2 Bagan di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata bagi pembinaan rumah baharu, setiap kawasan DUN akan dapat membina sebuah rumah asnaf dengan nilai maksimum RM80,000 bagi setiap rumah.

Mohd Fared berkata menerusi peruntukan itu, dijangkakan 444 rumah di semua 56 kawasan DUN di Johor akan mampu dibaik pulih, manakala pembinaan baharu ialah kira-kira 87 rumah.

"Permohonan bagi kedua-duanya akan dilakukan melalui Pejabat Daerah masing-masing sebelum dimajukan ke pihak MAINJ bagi kerja-kerja penilaian.

“Kerajaan negeri berharap peruntukan berkenaan dapat membantu golongan asnaf untuk memiliki kediaman yang lebih baik dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan