AM

PENGENDALI E-DAGANG PERLU BANTERAS JUALAN PERANTI PERUBATAN TIDAK BERDAFTAR

14/02/2024 04:44 PM

KUCHING, 14 Feb (Bernama) -- Pengendali platform penjualan e-dagang atau dalam talian mempunyai tanggungjawab untuk membanteras penjualan peranti perubatan tidak berdaftar. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata setiap peranti perubatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi memastikan kualiti dan keselamatan peranti tersebut.

“Sebarang peranti perubatan yang tidak berdaftar dengan MDA juga tidak boleh diiklankan.

“(Pengendali platform e-dagang) perlu mempunyai satu mekanisme bagaimana untuk mengeluarkan semua posting berkaitan peranti perubatan yang tidak berdaftar daripada platform jualan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama pemain industri peranti perubatan Sarawak di sini, hari ini.

 Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan meneliti keperluan untuk memperkukuhkan undang-undang sedia ada bagi menangani penjualan peranti perubatan tidak berdaftar.

“Proses pindaan sebarang undang-undang juga akan memerlukan penglibatan Ahli Parlimen untuk membawa sebarang cadangan, kita di pihak KKM juga akan membuat kajian mengenai perkara itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan