JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Benar Permohonan Muhyiddin Tangguh Prosiding Kes Pengubahan Wang Haram 

15/02/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan prosiding kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembebasan bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas meneliti dan menimbang hujahan lisan serta bertulis kedua-dua pihak.

"Jika terdapat situasi yang memerlukan keputusan kehakiman (di Mahkamah Rayuan), kes di Mahkamah Sesyen ini wajar digantung demi keadilan semua pihak.

"Ini juga bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap prosiding kes di mahkamah ini memandangkan terdapat permohonan lain yang telah difailkan selain pendengaran di Mahkamah Rayuan telah ditetapkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau menetapkan 4 Mac untuk sebutan semula kes bagi memaklumkan perkembangan mengenai keputusan rayuan pendakwaan.

Pendakwaan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas serta membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu berkaitan projek sama dan ia akan didengar pada 28 Feb ini.

Presiden Bersatu itu berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Bank CIMB milik parti berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan beliau bagi membatalkan kesemua pertuduhan.

Pada 2 Okt 2023, Muhyiddin sekali lagi memfailkan permohonan supaya Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan beliau daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan