AM

Pelepasan Sisa Ladang Itik Tidak Jejas Kualiti Air Terawat Pulau Pinang

21/02/2024 12:45 PM

GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Pelepasan sisa buangan dari ladang ternakan itik di Sungai Lembu yang dikesan mencemari dua sungai di Kedah baru-baru ini tidak menjejaskan kualiti air terawat di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan memaklumkan ujian kualiti air yang dikendalikan pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mendapati tiada perubahan ketara dalam kualiti air di Sungai Kulim, yang merupakan sumber air mentah di Seberang Perai.

“PBAPP menguji kualiti air mentah yang diabstrak daripada semua sumber air mentah di Pulau Pinang serta air terawat daripada semua loji rawatan air (LRA).

“Sepanjang 10 hari yang lalu, keputusan ujian tidak mendedahkan sebarang pelanggaran besar terhadap parameter ujian air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus berwaspada dan memantau kualiti air dari semasa ke semasa selain berharap tindakan pengawalseliaan sewajarnya diambil pihak berkenaan demi melindungi sumber air mentah Pulau Pinang.

 Ahad lepas media melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah telah mengesan berlaku kegiatan melepaskan sisa dari ladang babi di Sungai Lembu yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai ( MBSP) mendedahkan sisa buangan yang dikesan mencemari dua sungai itu sebenarnya berpunca dari ladang itik. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan