EKONOMI

Sasaran Perdagangan, Pelaburan Pada 2024 Dapat Dicapai - Tengku Zafrul

22/02/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan optimis sasaran perdagangan dan pelaburan yang ditetapkan untuk tahun ini dapat dicapai meskipun penyusutan nilai semasa ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan banyak tonggak utama lain yang kekal mempunyai daya tarikan dan menarik minat pelabur global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelabur akan mempertimbangkan prospek jangka panjang dan sesuatu yang menjadi sandaran dalam membuat keputusan mereka.

“Ringgit merupakan satu daripada faktor utama. Mereka ingin melihat kestabilan ringgit dan saya berpandangan bahawa kita berada pada julat yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jenama kenderaan elektrik terbaharu BYD Malaysia, BYD SEAL di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata pada kebiasaannya, pelabur akan mengambil masa antara enam bulan dan sehingga setahun untuk membuat keputusan mengenai pelaburan mereka, dan sehingga dua tahun untuk menubuhkan kilang di negara berkaitan, justeru mereka tidak terlalu menumpukan kepada ketidaktentuan mata wang. 

Pelaburan adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi, katanya sambil memaklumkan pada masa ini pelaburan menyumbang kira-kira 22 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Untuk menjadikan pelaburan sebagai satu daripada enjin utama pertumbuhan, kita perlu meningkatkan pelaburan sebanyak dua kali ganda. 

“Apabila peratusan pelaburan kepada KDNK meningkat, ini akan lebih memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.  Kita tidak boleh hanya bergantung kepada penggunaan dan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan menyasarkan pertumbuhan perdagangan sebanyak lima peratus tahun ini, meningkat sedikit berbanding pertumbuhan perdagangan global sebanyak tiga peratus yang diunjurkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan