JENAYAH & MAHKAMAH

Syarikat Pemborong Jual Diesel Kepada Syarikat Tidak Berlesen Didenda Rm95,000

22/02/2024 03:16 PM

IPOH, 22 Feb (Bernama) -- Sebuah syarikat pemborong minyak diesel didenda RM95,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan menjual barang kawalan berjadual kepada syarikat tidak berlesen dua tahun lepas.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Chin Kah Hei, 30, yang mewakili Chin Kok Keong Trading membuat pengakuan dan memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Chin yang juga merupakan rakan kongsi perniagaan syarikat itu, yang memegang lesen borong, didakwa menjual 10,920 liter diesel kepada Syarikat K2 Bitumen Sdn Bhd yang tidak mempunyai lesen atau kelulusan bertulis daripada Pegawai Bekalan di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang, Batu Gajah kira-kira 8 pagi hingga 5 petang, 28 Dis 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 22(4) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan kesalahan berulang memperuntukkan denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Hasyutantee Khalil, manakala syarikat dan tertuduh diwakili peguam Teoh Chin Cheong.

Terdahulu, Teoh merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum atas alasan pengakuan bersalah tertuduh yang telah berkahwin menjimatkan masa mahkamah dan perniagaannya amat merosot, selain memiliki banyak hutang dengan bank yang belum dijelaskan. 

Hasyutantee bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Chin supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan