AM

Lebih Rm5 Juta Barangan Bersubsidi Diseleweng Berjaya Dirampas - Armizan

22/02/2024 06:07 PM

KOTA KINABALU, 22 Feb (Bernama) -- Lebih RM5 juta barangan bersubsidi yang diselewengkan dan cuba diseludup keluar dari negara ini berjaya dirampas dalam Ops Tiris 3.0 yang dijalankan sejak 1 Jan hingga 15 Feb lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan rampasan diesel iaitu RM4.76 juta, petrol RON95 (RM90,611), gas petroleum cecair (LPG) RM154,189, minyak masak (RM107,759) dan gula (RM35,737), manakala di Sabah, sebanyak 221 pemeriksaan dijalankan yang merekodkan 29 kes dengan jumlah rampasan barang kawalan bernilai RM192,845. 

"KPDN bersama semua agensi berkaitan telah memulakan Ops Tiris yang bertujuan membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang menyebabkan kerugian kepada negara dan bekalan bahan api itu tidak sampai kepada mereka yang layak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bengkel penyelarasan tanggungjawab membenteras ketirisan barang kawalan bersama agensi-agensi penguat kuasa di sini hari ini.

Armizan berkata dalam Ops Tiris 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan dari 1 Mac hingga 31 Dis tahun lepas di seluruh negara, pihak berkuasa berjaya merampas kira-kira 6.4 juta liter diesel bernilai RM14.2 juta dan rampasan selain diesel berjumlah RM42.1 juta.

Mengenai bengkel sehari itu, beliau berkata ia diadakan untuk membincangkan dan menambah baik kerjasama dalam Ops Tiris yang telah dilaksanakan melibatkan 16 agensi penguat kuasa yang berkaitan bagi memperluaskan skop penguatkuasaan kepada barang-barang kawalan lain selain diesel.

Antara lain objektif bengkel itu ialah memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di kawasan sempadan negara, menambah baik prosedur operasi standard (SOP) kes penyerahan daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain.

Selain itu, pelaksanaan pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis perniagaan melibatkan pemborong dan peruncit kawasan sempadan, pengauditan kepada pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, pengisian bahan api dan syarikat pengeksport.

"Melaksanakan inisiatif baharu biz-berkat yang bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga berkaitan kod etika dan peraturan perundangan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan