DUNIA

Hubungan Pertahanan India-malaysia Pada Trajektori Kukuh - Pesuruhjaya Tinggi

22/02/2024 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Hubungan pertahanan dua hala India-Malaysia berada pada trajektori yang kukuh, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy pada Khamis.

Sepanjang tempoh 2022-2023, 600 anggota Tentera India menyertai tiga latihan - latihan tentera darat HARIMAU SHAKTI, latihan laut SAMUDRA LAKSAMANA dan latihan udara pertama UDARA SHAKTI manakala pada November lepas, 80 anggota tentera darat Malaysia menyertai latihan darat di India.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata Malaysia merupakan negara penting dalam dasar Akta Timur India, rakan perdagangan penting di ASEAN dan di peringkat global dan negara rakan yang dihargai.

“Semasa lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Malaysia pada 2015, hubungan dua hala kami ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik yang Dipertingkat, dengan kerjasama pertahanan sebagai tonggak utama,” kata Reddy dalam ucapan perasmian Ekspo Mini Pertahanan/Simposium Industri Pertahanan mengenai 'India - Kerjasama Industri Pertahanan Malaysia, di sini pada Khamis.

Beliau berkata India memilih Malaysia sebagai Hab Serantau untuk kerjasama industri pertahanan yang melibatkan Perusahaan Sektor Awam Pertahanan (DPSU), dengan mandat untuk Asia Tenggara, dengan Pejabat Serantau HAL yang dirasmikan semasa lawatan Menteri Pertahanan India pada Julai tahun lepas, memenuhi matlamat itu.

“HAL Regional Office, inaugurated during the visit of Defence Minister of India in July last year, is serving this purpose,” Reddy said 

Reddy berkata interaksi antara industri pertahanan Malaysia dan India telah diinstitusikan di bawah Jawatankuasa Pertahanan Malaysia-India (MIDCOM).

Jawatankuasa Kecil Bersama Ke-10 mengenai Kerjasama Sains, Teknologi dan Industri (JSDSTIC) yang berlangsung di New Delhi pada September tahun lepas, bersetuju untuk meningkatkan kerjasama industri pertahanan dengan melanggan kursus berorientasikan industri tertentu di India serta menganjurkan lawatan balas oleh Delegasi Peringkat Tinggi kepada industri pertahanan masing-masing.

Menurut Reddy, acara yang berlangsung hari ini menandakan permulaan dekad keempat penglibatan pertahanan India-Malaysia sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pertahanan dua hala pada 1993.

“Di peringkat serantau, India-ASEAN meraikan 30 tahun hubungan dialog kami dan 10 tahun perkongsian Strategik, dan tahun ini menandakan dekad Dasar Akta Timur India. Kerjasama kami di bawah ADMM (Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN) Plus, menyediakan forum tambahan untuk penglibatan pertahanan yang lebih rapat dengan mengambil kira dimensi pertahanan dan keselamatan serantau,” katanya.

Reddy menjelaskan bahawa ekosistem pengeluaran pertahanan India menawarkan pelbagai kemungkinan menarik - untuk kerjasama dalam pemodenan pertahanan dan pelaburan.

“Semasa interaksi antara Menteri Pertahanan kita tahun lepas, Kerjasama Industri Pertahanan serta memajukan penyelidikan dan pembangunan pertahanan, telah dikenal pasti sebagai bidang tumpuan. Kami tidak sabar untuk merasmikan penglibatan antara STRIDE (Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Untuk Pertahanan) Malaysia dan Pertubuhan Penyelidikan & Pembangunan Pertahanan (DRDO) India akhir tahun ini,” kata Reddy.

India diwakili 25 penggiat industri pertahanan yang diketuai oleh Society of Indian Defence Manufacturers (SIDM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan