EKONOMI

Malakoff Catat Kerugian Bersih Rm884.36 Juta Bagi Tahun Kewangan 2023

23/02/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Malakoff Corp Bhd (Malakoff) mencatat kerugian bersih sebanyak RM884.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 berbanding keuntungan bersih RM255 juta pada tahun sebelumnya.

Penyusutan ketara itu susulan margin bahan api yang negatif bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023 yang masing-masing melibatkan loji arang batu Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) selain penurunan sumbangan daripada loji gas GB3 Sdn Bhd.

Perolehan hasil turut berkurangan kepada RM9.07 bilion daripada RM10.35 bilion sebelum ini, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Selain itu, bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Dis, 2023, kumpulan berkenaan mencatat kerugian bersih sebanyak RM357.12 juta berbanding keuntungan bersih RM41.86 juta bagi suku sama tahun lepas manakala hasil berkurangan kepada RM2.26 bilion berbanding RM2.97 bilion pada tempoh sama 2022.

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, kumpulan menjangkakan prestasi keseluruhan yang memuaskan susulan kestabilan harga arang batu global secara beransur-ansur sejak separuh kedua 2023," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata Malakoff menyasarkan untuk mengembangkan kehadiran di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan memanfaatkan kepakaran teknikal yang dimilikinya.

“Kami juga giat menyertai bidaan projek-projek solar yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia. Pada masa sama, kami juga terbuka kepada usaha penggabungan dan pengambilalihan yang berpotensi dalam sektor pengurusan sisa dan penyelesaian alam sekitar.

"Komitmen kami turut meliputi usaha berterusan bagi meneroka dan melaksanakan teknologi hijau yang berdaya maju untuk kemajuan Malakoff," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan