EKONOMI

Matrix Concepts Catat Kenaikan Untung Bersih Rm57.24 Juta Pada Suku Ketiga

23/02/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Matrix Concepts Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM57.24 juta pada suku ketiga berakhir 31 Dis 2023 (suku ketiga tahun kewangan 2024) daripada RM54.37 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil berkurangan sebanyak 18.6 peratus kepada RM295.98 juta daripada RM363.81 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata segmen itu merosot sebanyak 19.1 peratus disebabkan ketiadaan sumbangan hasil daripada aktiviti pembangunan hartanah Australia dan Lembah Klang kumpulan itu berikutan penyiapan projek M Greenvale dan The Chambers pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Dis 2023 (tahun kewangan 2023), pemaju hartanah itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM185.87 juta berbanding RM151.98 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil meningkat kepada RM986.76 juta berbanding RM815.42 juta sebelumnya.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia bersedia untuk pertumbuhan berterusan, didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk permintaan untuk penawaran hartanahnya di projek utamanya, Sendayan Developments.

“Kumpulan optimistik dengan berhati-hati untuk mempercepatkan pemulihan pengiktirafan hasil, disokong oleh rekod prestasi yang cemerlang dalam meningkatkan aktiviti pembinaan.

“Kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk meningkatkan tawaran nilai di pembangunan perbandaran kami, yang termasuk Bandar Sri Sendayan, Ara Sendayan, dan Tiara Sendayan di Negeri Sembilan, dan Bandar Seri Impian di Kluang, Johor,” katanya.

Ini termasuk penambahbaikan berterusan kemudahan dan infrastruktur untuk memupuk kehidupan masyarakat yang lebih rancak dan usaha penyimpanan tanah yang aktif bagi projek masa depannya di perbandaran ini, kata syarikat itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan