AM

Anwar Minta Kpkm Ketuai Dan Menyelaras Sesi Libat Urus Isu Padi Dan Beras

23/02/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta untuk mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dan mendengar pandangan semua pihak termasuk cadangan beberapa wakil industri, badan bukan kerajaan yang mewakili pesawah dan pengilang  bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Beliau berkata libat urus tersebut perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac ini sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2024 yang dipengerusikan beliau hari ini.

Anwar berkata dalam tempoh itu, program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan lain-lain perlu diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan