AM

Jtksm Dakwa Empat Majikan Langgar Undang-undang Perburuhan

24/02/2024 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Empat majikan didenda membabtikan nilai keseluruhan RM46,500 selepas didapati melanggar undang-undang perburuhan negara.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah syarikat dalam sektor perhotelan didenda RM12,000 atas pelanggaran Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 membabitkan  kesalahan lewat membayar gaji kepada pekerja di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada 8 Feb lepas.

Di mahkamah sama, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan keselamatan atau sekuriti juga didenda RM12,000 kerana melanggar Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) iaitu gagal mematuhi bayaran gaji minimum RM1,500.

Selain itu, pada 19 Feb lalu, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan pembersihan didenda RM2,500  bagi kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta 732 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. 

Sebuah syarikat dalam sektor perlombongan dan pengkuarian pula didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pelanggaran Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) pada Khamis lepas (22 Feb).

“JTKSM akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan perundangan perburuhan negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan