EKONOMI

Keb 2024 Akan Terus Pacu Pertumbuhan Ekonomi Bumiputera - Amir Hamzah

26/02/2024 02:08 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadual berlangsung pada 29 Feb ini, dirancang bagi memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera selaras dengan kerangka ekonomi MADANI.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ini juga sejajar dengan usaha kerajaan yang sentiasa meneliti idea untuk dimanfaatkan dalam mewujudkan lebih banyak kekayaan bagi masyarakat bumiputera di tengah-tengah cabaran kos sara hidup tinggi dan pada masa yang sama mengetatkan aspek pembaharuan fiskal.

“Satu mesej jelas yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah usaha itu mesti bersifat inklusif. Oleh itu, apabila menyelesaikan isu seperti kemiskinan, anda melakukannya untuk risiko tertentu tetapi anda menyelesaikannya untuk seluruh masyarakat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Amir Hamzah berkata isu kemiskinan biasanya lebih banyak terkesan dalam kalangan masyarakat India dan Melayu, dan dengan menyelesaikannya, kerajaan pada masa yang sama dapat mencari penyelesaian untuk seluruh masyarakat.

“Saya ingin mengajukan falsafah yang sangat mudah... bagaimana cara saya boleh membuat kek menjadi lebih besar daripada bagaimana cara saya nak memotong kek itu?”

Ketika merasmikan prapelancaran KEB 2024 baru-baru ini, Anwar berkata kongres tersebut berharapkan kerjasama dan penyertaan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan selain membincangkan isu berkaitan ekonomi bumiputera.

Perdana Menteri juga berkata beliau akan menjemput pemimpin dewan perniagaan yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India untuk memberikan pandangan dan input mereka supaya KEB 2024 tidak dianggap eksklusif.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata dengan kestabilan kerajaan sekarang ditambah kekuatan institusi tempatan, Malaysia akan dapat terus menjamin pelaburan jangka panjang pelabur asing. 

“Saya fikir banyak (negara) telah memberi perhatian kepada kita, jadi tahun ini, seperti yang saya katakan kepada beberapa kumpulan lain apabila mereka datang berjumpa saya, saya menyatakan bahawa tahun ini bukan tentang menanam terlalu banyak impian... ia sebenarnya tentang melaksanakan apa yang telah kita janjikan dan menjadikannya satu kenyataan,” kongsi beliau.

Beliau mengakui bahawa walaupun kadangkala untuk melaksanakannya mungkin agak sukar, tetapi itulah laluan yang boleh membawa negara menjadi lebih baik lagi. 

"Kejelasan rancangan itu ada dan ia perlu digerakkan sehingga berjaya," tegasnya.

Sebanyak 10 kluster meliputi 10 sektor akan diwujudkan dalam KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional (Pilihan Kerjaya Utama) dan Pemantapan Industri Halal.

Kluster lain ialah Pembangunan Luar Bandar dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan; Sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Kongres tiga hari yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini itu menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta dan akan termasuk wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan